Showing posts with label learning n life. Show all posts
Showing posts with label learning n life. Show all posts

Tuesday, April 16, 2013

ultimately ..

i have learnt, i came alone and i have to go alone
i have learnt, some people are with you only when they need you .. not otherwise
i have learnt, if you care for someone too much you will be hurt and ultimately blamed

ultimately ..
i have learnt, love someone but not so much that you forget to keep some love for yourself


ya Allah .. ampunkan lah dosa2 ku.  
ya Allah .. aku persembahkan kepada Mu ya Tuhan sekelian mahkluk harapanku sekalipun aku seorang yang berdosa 
ya Allah .. wahai Yang Maha Pemberi dan Pemurah, tatkala keras hati ku dan sesak perjalanan hidupku .. aku jadikan rayuan daripadaku ini sebagai jalan mengharap keampunan Mu.   
ya Allah .. aku akan teruskan hidup ini dengan tetap terus berharap pada Mu
ya Allah .. aku akan teruskan hidup ini tanpa jemu merayu pada Mu 

Monday, April 8, 2013

mengelak rasa ..


kadang-kadang aku terluka tapi aku buat bersahaja.  bukan kerana tak rasa kepedihannya, tapi aku tahu Allah ada .. takkan Dia biarkan aku berdukacita selama-lamanya.
kadang-kadang aku rasa sangat keciwa, aku buatkan kekeciwaan tu seolah tak ada maknanya.  bukanlah kerana aku hebat sampai tak mahu mengaku keperitan yang melanda, tapi aku yakin Allah beri aku rasa keciwa tu sebab nak jadikan aku lebih bersedia menghadapi apa jua ujian lain yang bakal menimpa.
malahan aku kerap melagukan ratap aku dalam curahan air 'hujan' dibilik mandi agar tidak ada yang tahu kalau aku sedang menangis.  bila kenyataan demi kenyataan terlalu pedih untuk aku telan mahupun diluahkan, aku memilih untuk berdiam diri saja sambil mendoakan yang terbaik demi memelihara perhubungan ...

ya Allah .. dosaku menggunung tinggi .. Kau ampunkanlah, jadikanlah aku didalam golongan orang-orang yang selalu menerima rahmat dan kasihsayang Mu.
ya Allah .. mudahkanlah laluan hidup aku, jauhkanlah aku dari penyakit hati dan luaskanlah rezeki ku.
ya Allah .. jadikanlah aku hamba Mu yang sentiasa bersyukur dan Kau tambahkan lah kesabaran dalam kehidupan aku.  
ya Allah, ya Rahman, ya Rahim .. ya Rabbal 'alaamiin.

Saturday, February 9, 2013

bila ditimpa musibah ..


firman Allah swt untuk renungan, "dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka ia adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (drpd kesalahan2mu)." (Asy-Syuura :30)

firman Allah swt, “dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang2 yang sabar.  orang2 yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun." (Al-Baqarah 2 : 155-156)


sabda Nabi saw, 
الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيْلِ اللهِ: الْمَطْعُوْنُ شَهِيْدٌ وَاْلغَرِقُ شَهِيْدٌ وَصَاحِبُ ذَاتِ اْلجَنْبِ شَهِيْدٌ وَالْمَبْطُوْنُ شَهِيْدٌ وَصَاحِبُ الْحَرِيْقِ شَهِيْدٌ وَالَّذِي يَمُوْتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيْدٌ وَالْمَرْأَةُ تَمُوْتُ بِجُمْعٍ شَهِيْدٌ

maksudnya: orang yang mati syahid selain mati terbunuh pada jalan Allah (di medan perang) ada tujuh:
1. Mati sakit taun adalah syahid.
2. Mati lemas adalah syahid.
3. Mati sakit paru-paru adalah syahid.
4. Mati sakit perut adalah syahid.
5. Mati terbakar adalah syahid.
6. Mati dihempap benda keras adalah syahid.
7. Perempuan yang mati disebabkan anak yang dikandungnya adalah syahid.

ketika didalam syurga nanti, golongan ini bagaikan burung2 hijau yang rezekinya diberikan oleh Allah swt.
(HR Malik, Ahmad, Abu Daud, AnNasaai)


Mati Syahid terbahagi tiga:
1. Syahid Dunia dan Akhirat (yaitu sesiapa yang mati di medan perang menentang orang2 kafir).
2. Syahid Dunia (yaitu sesiapa yang mati dimedan perang tetapi ia berperang dengan niat yang tidak ikhlas – seperti berperang kerana hendak tunjuk berani, mahukan harta rampasan perang – atau ia mengkhianati harta rampasan perang atau ia lari dari medan perang).
3. Syahid Akhirat (yaitu sesiapa yang mati selain mati di medan perang menentang orang2 kafir yang di sebut secara khusus oleh Nabi Muhammad saw seperti mati kerana sakit taun dan lain2 di atas).

bagi sesiapa yang mati syahid akhirat ini mayat mereka dimandi serta disembahyangkan dan di akhirat nanti mereka akan memperolehi pahala orang2 yang mati syahid. yakni pahala syahid dunia dan akhirat.  (Riwayat Imam An-Nawawi, Syarah Soheh Muslim)


apabila berlakunya musibah, hadapilah dengan tabah dan pasrah, ambillah darinya segala 'ibrah (pengajaran), jadikanlah ianya sebagai khibrah (pengalaman), buat bekalan menempuh hayah (kehidupan), agar selamat dunia dan akhirah.

Sunday, February 3, 2013

berbuat baik bila sayang ..

bagaimana Rasulullah saw melayan pengemis Yahudi yg buta ..

di sudut pasar Madinah AlMunawarah ada seorang pengemis Yahudi yg buta.  dari hari ke hari apabila ada orang yang mendekatinya selalu dia berkata, "wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad. dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya." 

setiap pagi Rasulullah saw mendatangi sipengemis buta dengan membawakan makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah saw menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yg bernama Muhammad.  Rasulullah saw melakukannya hingga menjelang baginda wafat.  setelah kewafatan Rasulullah saw tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada sipengemis Yahudi yg buta itu.

suatu hari Abu Bakar ra berkunjung kerumah anaknya Aisyah ra.  beliau bertanya kepada anaknya, "anakku, adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?." Aisyah ra menjawab pertanyaan ayahnya, "wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah. hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja."  Abu Bakar ra bertanya, "apakah itu?."  jawab Aisyah ra. "setiap pagi Rasulullah saw selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta yang berada disana."

keesokkan harinya Abu Bakar ra pergi kepasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu.  Abu Bakar ra mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya.  ketika Abu Bakar ra mula menyuapkannya, si pengemis mula marah sambil berkata, "siapakah kamu?."  lalu Abu Bakar ra menjawab, "aku orang biasa."  sipengemis berkata, "bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangi dan menyuapkan aku .. apabila dia datang kepadaku, tidak perlu susah tangan ini memegang dan tidak perlu susah mulut aku ni mengunyah.  orang biasa yang mendatangi aku selalu menyuapkan aku tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya. setelah itu dia berikan padaku dengan mulutnya sendiri."  terang pengemis itu.

Abu Bakar ra tidak dapat menahan airmatanya.  dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu.  aku adalah salah seorang dari sahabatnya. orang yang mulia itu telah tiada.  dia ialah Muhammad Rasulullah saw."  setelah mendengar cerita Abu Bakar ra pengemis itu terkejut lalu menangis sambil berkata, "benarkah demikian?  selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahi ku sedikitpun.  dia malah mendatangi aku dengan membawakan makanan setiap pagi. dia begitu mulia ..."   dipendekkan cerita, akhirnya pengemis Yahudi itu bersyahadah dihadapan Abu Bakar ra.

kisah ini menjadi motivasi/mengajar aku  untuk terus berbuat baik terhadap orang-orang yang aku sayang .. biarpun kadang-kadang kelihatan seperti tidak di hargai. bila benar-benar sayang aku tidak perlukan penghargaan manusia.  aku mengharapkan  penghargaan Allah swt yang tiada tolok bandingnya.  ini mengajar aku erti keikhlasan, insyaaAllah.

Wednesday, January 9, 2013

memori tidak akan dipadam ..

aku tidak akan memadamkan memori pada kejadian dibumi bertuah itu.  ia amat bernilai dan mahal harganya bagi seorang perempuan seperti aku. walaupun ia amat menyakitkan sehingga hampir membunuh, amat rugi rasanya kalau dipadamkan begitu saja kerana aku akan lupa. dan bila aku lupa maka akan mudahlah aku tertipu lagi oleh orang yang sama dengan cara yang sama berkali-kali! 

aku beri maaf tapi aku perlu lebih berhati-hati.  aku beri maaf tapi bukan bermakna aku boleh diperlakukan begitu lagi dgn mudah, aku beri maaf tapi bukan bermakna aku tidak boleh mencari keadilan untuk diri aku  biarpun tiada siapa yang memihak dan berjuang bersama aku. 

ya Allah, rawatilah aku dengan rawatanMu, sembuhkanlah aku dengan penawarMu, cukupkanlah aku dengan kelebihan yang ada padaMu dari mengharap selain dariMu (supaya dapat aku berdikari).

Tuesday, May 3, 2011

adab terhadap ibu bapa ..





selepas Allah dan RasulNya, ada dua lagi manusia yang diperintahkan olih Allah untuk dimuliakan olih seorang yang bergelar anak iaitu kedua ibu bapanya. mengikut apa yang dituliskan olih Imam Al Ghazali didalam jalan menuju hidayah, antara adab-adab seorang anak terhadap ibu bapanya ...

1. hendaklah ia mendengar dan mengikuti segala perkataan ibu bapa

2. hendaklah ia berdiri ketika ibu bapanya berdiri kerana menghormatinya

3. hendaklah ia menjunjung segala perintah kedua2nya

4. jangan ia berjalan dihadapan keduanya

5. janganlah ia mengangkat suara lebih tinggi daripada suara keduanya

6. hendaklah ia memperkenankan/menyahut kehendak/panggilan keduanya

7. hendaklah ia sentiasa menuntut keredhaan keduanya

8. hendaklah ia bersikap tawadhuk kepada keduanya

9. jangan ia menyebut2 jasanya kepada kedua2nya dan jangan pula ia menyebut sebarang perkhitmatannya bagi keduanya

10. janganlah ia melihat kepada keduanya dengan pandangan penghinaan

11. janganlah ia memasamkan mukanya di hadapan keduanya

12. janganlah ia musafir kecuali setelah mendapat izin daripada keduanya

memang tak akan terbuat olih kita kan? buatlah sekadar yang terbaik. ibu bapa kita tidaklah zalim atau kejam mana pun. ibu bapa sentiasa redha dengan anak2nya kerana mereka juga tidak ingin memberatkan lagi bebanan anak2. tetapi perlu diingatlah, jangan ambil mudah dan jangan ambil kesempatan atas kelembutan hati dan kebaikkan ibu bapa masing2.

kalaulah diberi leluasa oleh Allah untuk mengurangkan bebanan taat seorang anak terhadap ibunya .. akan aku lakukan demi kasih sayang aku yang tak mahu anak2 aku terbeban dengan tanggungjawab yang berat ini .. ini tuntutan/perintah dari Allah swt, tiada siapa dapat merubah atau menukarnya. "sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa." (AnNisaa:36) ... begitulah adanya ....

macamanapun, bagaimanapun keadaan anak2 ... aku menyayangi dan mengasehi empat orang yang Allah anugerahkan pada aku. merekalah kebahgiaan aku .. pengubat duka lara aku .. kekuatan aku! setiap seorang dari mereka ada kelebihan dan kekurangannya masing2 yg aku redha seadanya.

Thursday, March 17, 2011

jasa mu dikenang ..


“seorang guru, baik guru mengaji atau guru di sekolah atau seorang guru yang hanya sekali kita temui tetapi kita dapat pelajaran daripadanya, semuanya adalah jasa tidak dapat dibalas dengan harta benda”
- Hamka.

“Bahawa orang yang berilmu harus mengajarkan ilmu pengetahuan kepada orang lain dan pekerjaan mengajar itu amat terpuji.” - Hadith Nabi saw. tugas utama cikgu adalah mengajar dan mendidik. dari sudut Islam, orang yang menjadi guru diberi oleh Allah kelebihan berganda .. pahalanya seperti sungai yang mengalir ..

"sekiranya Allah memberi hidayat hingga kamu dapat memberi pelajaran kepada seseorang, yang demikian lebih baik bagimu daripada memiliki dunia berserta sekalian yang ada di dalamnya.” - hadith Nabi saw

kenapalah aku tak memilih kerjaya sebagai guru dulu ...

sekarang aku sangat excited menunggu petang esok .. tak sabar rasa nak jumpa cikgu2 aku yang sudah melebihi 35 tahun tak bertemu. aku memang pelajar yang sangat "baik" semasa dizaman persekolahan dulu, sebab tu semua cikgu2 samaada yang mengajar atau tak mengajar aku ... semua kenal aku. mesti cikgu2 aku dah tua ... sedangkan aku pun dah tua!

p/s hangin aku dgn FB kebelakangan ni ..

bila jatuh tersungkur menyembah bumi ..

akhirnya berjaya reset password setelah terkial2 seharian. been awhile, yes! .. sekarang mahu memulakan menulis semula disini kerana tahap kebosanan dan kecelaruan sudah mencecah kebatu jemala aku!


Thursday, August 26, 2010

Sunday, August 22, 2010

Friday, August 20, 2010

gold dinar, silver dirham

if this is going to be implemented in Kelantan .. wonder what will happen to the Ringgit Malaysia?





runtuh paakkk !!!

Saturday, August 14, 2010

Rahsia 13 perkara ...

Sebagai peringatan buat diri sendiri, bagi yang dah tahu atau panduan bagi yang baru tahu, inilah dia rahsia as-solat yang kita ....

1 - Niat Sembahyang :
Sebenarnya memeliharakan taubat kita dari dunia dan akhirat.

2 - Berdiri Betul :
Fadilatnya, ketika mati dapat meluaskan tempat kita di dalam kubur.

3 - Takbir-ratul Ihram :
Fadilatnya, sebagai pelita yang menerangi kita di dalam kubur.

4 - Fatihah :
Sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur

5 - Ruqu' :
Sebagai tikar kita di dalam kubur.

6 - I'tidal :
Akan memberi minuman air dari telaga alkautsar ketika didalam kubur.

7 - Sujud :
Memagar kita ketika menyeberangi titian SIRATUL-MUSTAQIM.

8 - Duduk antara 2 Sujud :
Akan menaung panji-panji nabi kita didalam kubur

9 - Duduk antara 2 Sujud (akhir) :
Menjadi kenderaan ketika kita dipadang Mahsyar.

10 - Tahhiyat Akhir :
Sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh Munkar & Nankir di dalam kubur.

11 - Selawat Nabi :
Sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.

12 - Salam :
Memelihara kita di dalam kubur.

13 - Tertib :
Akan pertemuan kita dengan Allah S.W.T.

Dari Abdullah bin 'Amr R. A., Rasulullah S. A. W.bersabda : "Senarai di atas adalah salah satu sebab mengapa orang Yahudi / Kafir tidak sukakan angka 13 dan juga Hari Jumaat"

"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..." Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain...


Selamat beramal dan beribah dibulan Ramadhan yg penuh nikmat dan rahmat Allah ini ..

Saturday, May 22, 2010

tandas itu rumah kepada Qhubusi dan Qhabais ..

Dah lama aku nak menulis tentang perkara yang satu ni, tapi tak kesampaian. Bukan apa sangat pun sekadar nak renung2kan saja untuk ikhtibar pada diri aku dan yang peduli ..

Aku sebenarnya tak faham kenapa orang boleh sanggup duduk berlama-lamaan dalam tandas setiap kali melepas hajat! ada kah kerana seronok bermesra-mesraan dengan Qhubusi dan Qhabais laknatullah tu?? siap ada pulak aktiviti sampingan untuk dijadikan hiburan bersama dua ekor tu seperti ..

1) membaca buku cerita/surat khabar
2) termenung
3) hisap rokok
4) belek handphone - surfing etc. adakalanya bercakap2 menjawab/membuat panggilan talipon pulak tu !!!!

bukankah agama kita mengajar supaya jangan duduk berlama-lamaan dalam tandas kerana ianya tempat yang kotor .. dan tempat kotor itu adalah tempat syaitan?

bukankah agama kita mengajarkan untuk berdoa bila nak masuk dan nak keluar dari tandas supaya Qhubusi dan Qhabais tidak mencemarkan tubuh badan kita?

bukankah agama kita mengajarkan supaya menutup kepala bila berada didalam tandas supaya Qhubusi dan Qhabais tak dapat memalitkan najis?

Malik bin Dinar pernah berkata; “Wahai saudara ahli Basrah, disebabkan makan terlalu banyak, maka kita terpaksa kerap pergi ke tandas, tempat yang hina. Ertinya kita dimalukan oleh Tuhan. Oleh sebab itu, maka aku amat inginkan sekiranya diberi rezki oleh Tuhan, cuma cukup untuk menjilat lidah sahaja pada batu krikil”.

renung2kan lah ...

Tuesday, January 19, 2010

jadilah pemuda yg baik ..

Just to say thanks to the guy yg beri makcik hadiah sarung kaki dari Korea ni .. molek saja kaki makcik yg memang comey macam orang sana gak!! didoakan kamu berjaya dunia dan akhirat.


Cerita from around the internet, letak kat sini untuk renungan bersama ... semoga semua mendapat pengajaran darinya .. betapa anak-anak muda islam perlu ada ilmu alQuran didada untuk menangkis tohmahan dan menjawab soalan-soalan orang bukan islam.

quote:
Ada seorang pemuda Arab yang baru saja menyelesaikan bangku kuliahnya di Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang juru dakwah Islam. Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberinya hidayah masuk Islam.

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula mula dia keberatan, namun karena desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dengan hening, sebagaimana kebiasaan mereka.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terbeliak ketika melihat kepada para hadirin dan berkata, 'Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini.'

Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata, 'Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya.' Barulah pemuda ini beranjak keluar.

Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi, 'Bagaimana anda tahu bahwa saya seorang Muslim?'

Paderi itu menjawab, 'Dari tanda yang terdapat di wajahmu.'

Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan keberadaan pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan ugamanya. Pemuda Muslim itupun menerima tentangan debat tersebut.

Paderi berkata, 'Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat. '

Si pemuda tersenyum dan berkata, 'Silakan!'

Sang paderi pun mulai bertanya, 'Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada delapannya, delapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya.'

'Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh! Apa yang dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya? Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam surga? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!'

'Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?'

'Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?'

Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah.

Setelah membaca Basmalah dia berkata, -Satu yang tiada duanya ialah Allah s.w.t..

-Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t. berfirman, 'Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami).' (Al-Isra': 12).

-Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

-Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur'an.

-Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.

-Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah s.w.t. menciptakan makhluk.

-Tujuh yang tiada delapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t. berfirman, 'Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang.' (Al-Mulk: 3).

-Delapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah s.w.t. berfirman, 'Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat men-junjung 'Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka.' (Al-Haqah: 17).

-Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mu'jizat yang diberikan kepada Nabi Musa yaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin topan, musim paceklik, katak, darah, kutu dan belalang.*

-Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah s.w.t. berfirman, 'Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali lipat.' (Al-An'am: 160).

-Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf .

-Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mu'jizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, 'Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, 'Pukullah batu itu dengan tongkatmu.' Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air.' (Al-Baqarah: 60).

-Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.

-Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh. Allah s.w.t. ber-firman, 'Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing.' (At-Takwir: 18).

-Kuburan yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS.

-Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam surga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf , yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, 'Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala.' Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, ' tak ada cercaan terhadap kamu
semua.' Dan ayah mereka Ya'qub berkata, 'Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.' (Yusuf:98)

-Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keldai. Allah s.w.t. berfirman, 'Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keldai.' (Luqman: 19).

-Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Shalih dan Kambing Nabi Ibrahim.

-Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim. Allah s.w.t. berfirman, 'Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim.' (Al-Anbiya':69).

-Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Shalih, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

-Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t.? 'Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar.' (Yusuf: 28).

-Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia mengurungkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini disetujui oleh paderi.

Pemuda ini berkata, 'Apakah kunci surga itu?' mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kekuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak.

Mereka berkata, 'Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya!'

Paderi tersebut berkata, 'Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kalian marah.'

Mereka menjawab, 'Kami akan jamin keselamatan anda. '

Paderi pun berkata, 'Jawapannya ialah: Asyhadu An La Ilaha Illallah Wa Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah. '

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa ..
:unquote.

wallahuaklam ..

Thursday, August 13, 2009

Pergi Tak Kembali

Memang sesungguhnya kita ini kepunyaan Allah, dan kepada Dia kita akan dikembalikan. Sesaat pun tidak dicepat dan ditangguhkan ...

Tak kira diusia muda atau pun tua, bila sampai waktunya .. pasti maut datang menjemput .. semua yang disayang milik kita didunia akan ditinggalkan. Seperti kata lirik nasyid Pergi Tak Kembali oleh Rabbani. Penyanyi utama kumpulan Rabbani, Ustaz Asri telah dijemput untuk bertemu Penciptanya pagi tadi. Beliau telah pergi dan tidak akan kembali lagi kedunia ini .. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.



Sunday, April 12, 2009

Biarlah "Busy Body"

HeroBesar balik dari mesyuarat AJK surau ditempat kami bawa dua berita yang tidak sedap didengar ini .. ianya berita yang tidak bermoral, mungkin biasa-biasa saja pada orang ramai tetapi amat memedihkan hati aku mendengarnya. Betapa sekarang ini dunia memang menuju kehancurannya:

1. Ada beberapa peralatan surau dicuri orang .. microfon, radio, frame yang tergantung kat dinding (Allah n Muhammad saw) tu pun diambilnya .. hitam sungguh hati manusia yang mencuri tu ..

2. Minggu lepas ada dua pasangan muda mudi ditangkap sedang berkhalwat dikawasan kami .. atas tips yang diberi oleh rakan serumah mereka yang sudah tak tahan dengan kerenah mereka membawa pulang GFs, maka ustaz dan ahlinya pergi serbu rumah tersebut .. maka tertangkaplah dua pasangan itu.

Tak lama dulu dah ada juga ditangkap dua pasangan muda dikawasan aku ni .. yang lelaki-lelaki tu dah bekerja di kilang .. pasangannya budak-budak sekolah lingkungan 16 - 17 tahun. Pagi-pagi pakai baju sekolah lengkap bertudung .. naik motor sendiri *mungkin mak pak mereka nak mudah, belikan motor untuk pergi balik sekolah* instead of pergi sekolah terus kerumah budak-budak bujang. Kebetulan kawan aku ni nampak budak-budak perempuan tu menyorong motor masuk terus kerumah bujang .. terus dipanggilkan ustaz, Jabatan Agama Islam dan Polis. Maka selamatlah mereka hari tu .. memang sedang in action masa ditangkap!!

Siapa yang hendak dipertanggungjawabkan dalam perkara-perkara seperti diatas? Bagi aku masyarakat sekeliling bertanggungjawab besar dalam membenteras kejadian-kejadian seperti diatas. Kita tidak boleh hidup seperti Enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing saja. Bila bala diturunkan, dia tak memilih rumah mana, kejiranan mana .. kawasan siapa .. semuanya akan mendapat akibatnya. Kita perlu menjadi busy body .. jaga tepi kain kejiranan kita. Apa yang kita tak dibenarkan ialah membawa mulut menceritakan keburukan orang, memfitnah orang ... tapi sekiranya ia demi kebaikkan bersama, by all mean kita harus melakukannya bersama.

Contoh satu lagi, lately aku telah membenarkan HeroKecik pergi bermain bola di padang berhampiran tanpa pengawasan aku. Syaratnya .. keluar rumah pukul 6 petang dan pukul 7 petang mesti dah sampai rumah semula. So far so good ... yang tak baiknya dua tiga hari ni dia dah mula bercerita tentang abang-abang yang bermain bersama tu ..

"abang-abang tu hisap rokoklah ibu"
Wah !! terus aku buka kitab memberi amaran, jangan sampai aku dan ayahnya tahu dia mendekati abang-abang tu masa mereka sedang hidap rokok tu. Siap aku akan grounded dia nanti ...

"ramai kawan-kawan adik pun cuba sama, sampai terbatuk-batuk" Aduhai apa nak jadi dengan anak-anak ni? .. Abang-abang yang dimaksudkan tu adalah pelajar sekolah rendah .. darjah lima dan enam kebanyakkannya... dan abang-abang yang dimaksudkan tu adalah anak-anak kejiranan aku juga. Berputar kepala aku memikirkan bagaimana harus aku lakukan untuk memastikan HeroKecik ni tidak mudah terpengaruh ...

Aku panggil HeroKecik duduk melayari internet dengan aku dan tunjukkan gambar paru-paru manusia yang rosak, tunjukkan rupa gigi yang buruk warna kuning /hitam. Bila dia bertanya kenapa boleh jadi begitu dan dia nampak takut juga .. aku pun slowly masuk daun cerita sebab-sebabnya .. dia nampak insaf lah. Tapi tak tahulah cara aku ni betul ke tidak ... aku sebutkan juga sikit-sikit apa pandangan ustaz aku tentang orang yang hisap rokok ni.

Aku dan HeroBesar selalu berpesan pada kawan-kawan ... yang beranaknya kami, tapi kami memerlukan mereka semua untuk menjadi mata dan telinga kami, sama-sama mendidik dan menegur anak-anak kami seandainya mereka terjumpa, terserempak dimana-mana tempat dan dirasakan berbuat perkara yang tak sepatutnya. Kami selalu berpesan, janganlah ada rasa segan or nak cover line untuk anak-anak kami ... beritahu saja pada kami, pahit manisnya, insyaAllah kami terima.

Memang tidak ada mak bapak yang mendidik anak-anak jadi jahat, melanggar hukum hakam .. semua mak bapak hendakkan yang terbaik. Mendoakan anak-anak dilindungi dari segala keburukan ... tapi dalam pada itu, pengaruh persekitaran amatlah menduga ... sedangkan kita pantau dan ikuti pergerakkan mereka pun kita selalu terlepas pandang .. inikan pula yang diberi kebebasan 100% untuk menjana hidup sendiri-sendiri ... aku paling tak senang bila ada ibu bapa bila kita beritahu tentang anak-anak mereka, jawapannya "biasalah anak-anak lagi, mereka masih muda, nanti dah berumur sikit tahulah mereka buruk baiknya."

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan ... kesalnya sepanjang hayat!!

Pesan aku pada anak-anak; ibu ayah dah beri segala didikan yang kami termampu untuk kamu sekelian menjalani hidup sesempurna mungkin didunia dan akhirat .. jagalah diri masing-masing, keturunan masing-masing janganlah kami dipersoalkan lagi diakhirat nanti ...

Friday, March 6, 2009

Rindu-rinduan ..

Bertemu kembali kita. Kata orang jauh dikenang, dekat sayang, hilang di rindu. Bila rindu semua tak kena .. makan tak kenyang, mandi tak basah, malahan tidor pun tak lena. Macam tu lah kita manusia ni ... bila ada depan mata kita ambil ada saja. Bila dah berjauhan dan kehilangan baru terasa, baru menyesal tak mengambil ruang yang ada, tak menafaatkan semasa bersama.

Semalam HeroBesar balik lewat, ada tiga mesyuarat yang dia perlu hadhir. Kesihan aku, balik dalam keletihan dan kelaparan. Mana ketidaknya meeting marathon. Semasa menemankan dia makan malam sambil mendengar cerita perjalanan meeting dia, aku sempatlah cilok bertanya apa plan dia esok *hari ni*. Aku ada dua perkara nak buat, nak hantar CikNawa pergi KLIA ketemu kawan-kawan, nak mengambil baju di kedai dobi .. so nak pastikanlah semua tak bertembung dengan schedules HeroBesar.

"Tak ada plan, nak duk rumah saja menghabiskan masa dengan you...mesti you rindu." katanya .. perasan pulaklah orang tua ni. Aku sengih saja .. dia tanya, "you tak rindu I ke?." cepumas punya soalan.

"Orang katakan, rindu ni timbal balik Beb. Maksudnya kalau you rindu, I pun rindu. Kalau you terlupa tak ingat langsung tu ... I pun masa tu tak teringat juga." jawab aku. Tapi HeroBesar macam tak puas hati pulak dengan jawapan aku ni. Apa-apalah ... ada maksud tersirat dan tersurat tu!!

Rindu ni ada macam-macam: rindu orang-orang yang disayang, rindu kawan-kawan, rindu suasana, rindu kampung halaman .. malahan ada orang kata rindu nak pergi shopping!!. Rindu ni bertambah-tambah bila kita sendirian. Perasaan rindu ini kalau tidak terlerai, tidak terkawal, akan menyebabkan kehidupan harian perindu itu tak keruan. Tapi ada juga orang-orang yang berfikiran positif menjadikan rindu itu satu cabaran untuk meraih kejayaan, menjadikan rindu sebagai motivasi untuk hidup yang lebih sempurna ..

Dalam kehidupan aku yang setengah abad dah ni, rindu yang paling menyakitkan aku adalah ketika mula-mula berpisah dengan anak-anak .. ketika mereka baru-baru pergi jauh beribu batu meninggalkan aku demi menuntut ilmu. Memang makan nasi pun aku tak lalu lah .. itupun aku masih berhubung hari-hari di alam cyber. Tapi tetap tak sama seperti menatap mereka didepan mata.

Antara perkara yang aku lakukan untuk mengatasi kerinduan ...

1. Menyibukkan diri .. buatlah apa saja yang boleh alihkan fikiran dari teringat saja kepada yang dirindu. Paling baik aku rasa ialah aktivi diluar rumah seperti menghadhiri kelas-kelas agama .. sertai badan-badan kebajikan buat kerja amal, tak kurang juga aku pergi mengukur shopping kompleks.

2. Pilih hobi tertentu ketika dirumah .. hobi yang mengisikan kekosongan waktu supaya ingatan tidak focus kepada kerinduan. Contohnya melayari internet, berkebun, tidor pun hobi juga .. etc.

3. Bila rindu pada orang yang dah meninggalkan kita .. kita hadiahkanlah bacaan-bacaan ayat alQuran .. dengan membaca alQuran boleh mengusir iblis dan syaitan yang sedang menghasut hati. Ada kalanya aku pergi berjumpa orang-orang yang menjadi kesayangan kepada orang yang sudah meningggal tu .. sekadar bercerita.

4. Berdoa, meminta pada ALlah supaya hati kita tidak dibuai perasaan rindu berlebihan kepada makhlukNya ... supaya kerinduan kita hanya pada Dia, pada Nabi saw tiada penghujungnya.

Rindu aku masih tak bertepi terhadap anak-anak, tetapi alhamdulillah rindu aku dalam kawalan hati dan perasaan aku.

"Tidak akan kamu berperasaan gundah gulana jika kamu tahu apa yang kamu cari " : Saidina Umar Al-Khatab

"Aku mencintai mu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dari dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu." : Imam Nawawi.

Thursday, February 12, 2009

Istidraj dariNya ...

Aku sekadar memanjangkan apa yang aku baca dari email seorang sahabat untuk dikongsi bersama. Semoga kita sama-sama mendapat manafaat. Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah saw bersabda: " Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.."

Quote :

Rasullulah s. a.w. bersabda : "Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT."

(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Istidraj adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya.

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadatpun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s. a. w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul æIbad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap) , dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah.

Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya? Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj ..

Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur atas nikmatNya.

Kita mengunakan pemberian Allah ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Unquote.

Wallahualam.

Tuesday, February 10, 2009

Bila ALlah marah pada kita ..

ALlah maha pengasih lagi maha penyayang ... disebabkan segenap lapisan makhluk tahu sifat ALlah ini, maka semuanya mengambil kesempatan dengan melakukan apa saja laranganNya di muka bumi milik ALlah ini. Peringatan demi peringatan telah ALlah berikan .. namun tidak di endahkan .. kemungkaran terus berleluasa...

ALlah kerahkan bala tenteraNya yang kelihatan dan yang tidak kelihatan olih mata kasar untuk memberi pengajaran/kesedaran kepada makhlukNya ..


.. malaikat-malaikat - tentera ALlah yg ghaib

.. air - datang menghanyutkan

.. api - datang membakar


.. angin - datang menerbangkan

.. gunung ganang - datang membenamkan


Semua bala tentera ALlah tidak pernah ingkar pada perintah Tuhannya .. tanpa belas kasihan mereka bertindak menghapus yang mungkar dan ingkar ... dizaman kini dan dizaman-zaman terdahulu. Bila mereka bertindak .. tiada siapa dapat menghalang .. mereka hanya berhenti bila diperintah ALlah ..

Berbagai-bagai jenis bala bencana ditunjukkan bagi memberitahu betapa Dia maha berkuasa ... betapa bala tenteraNya boleh melakukan apa saja atas perintahNya .. maka diturunkanNya ..

.. penyakit-penyakit yang menular
.. kemusnahan/bencana keatas bumi ini
.. kekacauan/kezaliman yang dibuat olih manusia

Hanya ALlah sahaja yang berkuasa dalam mencipta dan mentadbir alam ini. Tiada daya kekuatan melainkan dari ALlah sahaja.

Saturday, February 7, 2009

Hati yang lalai ..


Mendung seharian ni .. bukan cuaca yang mendung tapi hati aku yang kelabu. Bukan salah sesiapa atau kerana sesiapa ... semuanya kerana aku sendiri. Menyedari kesilapan dan segala kekurangan aku ..buat aku jadi sebak. Aku selalu mendengar luahan kawan-kawan, luahan anak-anak, luahan siapa saja ... selalu aku menyediakan bahu aku untuk orang lain bersandar melepas lelah. Tapi hari ini bila aku memerlukan bahu untuk bersandar .. aku terkapai-kapai. Terasa aku betapa kesaorangannya aku ... ini baru di dunia, di alam kubur nanti lagi gelap gulita seorang juga ..

Aku serious bila aku menjawab kata-kata sesaorang itu tadi .. aku sedar apa yang aku katakan .. pahit, pedih, sakit seperti langit menghempap kepala aku .. tapi itulah kenyataannya. Aku harap itu yang terbaik dapat aku lakukan demi sesaorang itu. Aku sudah ibarat senaskah Al-Quran lama .. yang tak boleh dibaca lagi .. tapi nak diletakkan dimerata-rata tak boleh pulak .. suka tak suka terpaksa disimpan saja.

Syaitan memang mencari-cari mangsanya .. memang dia sentiasa mengintai-intai hati-hati yang lalai. Dan dia berjaya mengusik hati aku hari ini atas kelalaian aku ..

Aku teringat salah seorang dari Ustaz memberi tahu tentang sabda Nabi saw lebih kurang begini : Berdoalah kepada ALlah swt dengan yakin bahawa Dia akan memakbulkan. Tetapi ingatlah bahawa ALlah tidak akan berkenan memakbulkan doa orang-orang yang lalai dan bermain-main.

Aku mesti berusaha menghabiskan kitab Tanbiihul Ghafiilin -- Peringatan Buat Yang Lalai yang telah aku tinggalkan suku jalan.


YaAllah beri lah aku kekuatan menghadapi segala ujian mu, sesungguhnya ya ALlah keikhlasan itu amat sukar, namun engkau maha tahu. Tabahkanlah hati hambaMu ini semoga hanya untuk Mu sahaja langkah-langkah ku dan hanya untuk Mu sahaja segala harapan hati hamba Mu ini.