Tuesday, December 30, 2008

Lompat sikatak lompat

Aku di besarkan dikampung .. rata-rata penduduknya bersawah padi. Jadi setakat lintah dan katak tak menjadi hal pada aku. Aku tak lari kalau terserempak dengan dua spesis ni disawah atau ditepi sungai. Setakat kena gigit lintah ni biasa saja. Lintah kalau gigit kaki aku, aku bolih saja tanggalkan dan gentel-gentel jadi guli dan balingkan jauh-jauh. Macam tu juga lah katak .. senang saja aku kurung bawah tempurung, then aku ketuk-ketuk tempurung tu nak bagi katak tu pening. Aku seronok tengok bila dilepaskan katak tu mamai!!


Tapi baru ni aku pergi Pasar Tani dengan Hero Besar. Aku terkejut bila ternampak lintah darat ni .. punyalah gemuk dan besar. Diternak untuk tujuan perubatan.. khasnya untuk kaum lelaki. Geli geleman aku ..

Kalau lah lintah sebegini yang ada disawah, memang aku tak akan jejak kakilah jawabnya kesawah.


Katak ni pulak aku jumpa diKL Tower dua hari dulu. Terkurung dalam cermin dibuat pameran. Mula-mula aku ingat replika saja .. tapi bila direnung nampaklah memang bernyawa .. mata terkebil-kebil dan kembang kempis saja dibawah dagunya tu. Buatlah apa saja, sikitpun dia tak bergerak!! Aku tak pernah nengok spesis katak macam ni .. warna keemasan, gemuk lebar besar pinggan makan. Aku rasa katak spesis ni tak boleh nak melompat sebab gemuk sangat .. ni jenis yang tunggu rezeki datang depan mulut. Menakutkan juga bila ditenung lama-lama ...

Monday, December 29, 2008

Dua Hati Menjadi Satu



27 Zulhijah 1429 (25 December 2008), selepas Isya' di Surau Al -Ihsan, Desa Minang - Gombak .. kami seluruh keluarga menjadi saksi bagi majlis walimatulurus antara Along n Dalila.

"Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." An-Nisa : Ayat 1


Dears ..

May your marriage bring you all the exquisite excitement marriage should bring...

Happiness in marriage is not something that just happens ..

A good marriage must be created ..

In marriage the little things are the big things ..

It is never being too old to hold hands...

It is remembering to say "I love you" at least once a day...

It is at no time taking the other for granted, the courtship should not end ..

It is having a mutual sense of values and common objectives..

It is standing together facing the world...

It is forming a circle of love that gathers the whole family...

It is doing things for each other, not in the attitude of duty or sacrifice ..

It is speaking words of appreciation, demonstrating gratitude in thoughtful ways...

It is not looking for perfection in each other...

It is cultivating flexibility, patience, understanding and a sense of humour...

It is having the capacity to forgive and forget...

It is giving each other an atmosphere in which each can grow old...

It is a common search for the good and the beautiful...

It is establishing a relationship in which the independence is equal,
dependence is mutual and the obligation is reciprocal...

It is not only marrying the right partner, it is being the right partner...

Friday, December 19, 2008

Plastercine, OnionRing, Udang

Itulah anak-anak ooi, ibu dah kata dah nanti ibu angek-angek taik ayam saja dengan blog ni .. you all paksa juga ibu berblog bagai. Lama tak update sebab tak ada mood dan juga lupa password, ni baru dapat ingat balik atas pertolongan cikGlamer tu.

Lagi lah pulak rumah sekarang ni tak sunyi sebab ada HeroKecik n kawan-kawan dia (cuti sekolah ni kan..) cikKewl (bila results nak keluar?), n cikGlamer (kejap-kejap tanya "lawa kan?"); so aku rasa kurang lah sikit tahap mengadap lappy nih ... iyer ke? Dan juga masa cuti sekolah ni banyak sangat kenduri kendara yang perlu di hadhiri ..

Macam-macam kejadian berlaku since my last entry. Aku list kan lah ikut apa yang aku masih ingat :


CikGlamer ni balik bercuti selama 3 bulan dan dah mula practical kat KLCC !! Maka tiap-tiap pagi (6:00am) aku dan HeroBesar menghantar, dan tiap-tiap petang (6:00pm) kami menjemput dia di Terminal One (kecuali Sabtu dan Ahad). Memanjang lah letih dan pening bila balik tu .. itu baru practical, belum lagi kerja betul-betul !!

CikKewl ni sedang bercuti lama, tunggu results dan akan terbang jauh juga .. buat masa sekarang dia hibernate saja disarangnya - baca komik online, games online .. dan menjalani aktiviti mengacau HeroKecik .. Yang dah umur 18 tahun sama saja perangai dengan yang umur baru nak masuk 8 tahun. Poning ibu korang anak-anak oooi!!


Sejak sekolah mula cuti, HeroKecik aku pulak tak sabar-sabar nak menjadi lelaki sejati!! Nak potong "tut" dia. Aku sebenarnya reluctant lagi sebab aku tak yakin siHeroKecik akan behave disepanjang proses baik pulih selepas sunat tu .. dia ni ligat macam gasing!! Silap-silap bentan pulak nanti ..

"Ibu, adik nak sunat!!"

"Adik tahan sakit? tak takut ke?" HeroKecik ni memang penakut, masuk bilik air siang hari pun minta orang teman lagi .. tapi bab sakit ni memang aku tahu toleransi dia tinggi .. setakat jatuh basikal lebam-lebam sana sini tu takdak hal punya.

"Adik power lah bu .. jomlah sekarang"

"Ayah, adik nak sunat!"

"Kenapa adik nak sunat sangat ni? kalau dah sunat nanti solat tak boleh ngelat tau. Dan adik dah tak boleh tidor sama ibu ayah dah" HeroBesar pulak punya pandai .. macam tak nak budak tu bersunat jer bunyinya ... memanglah HeroKecik ni selagi aku or HeroBesar tak tidor sama .. dia tak akan tidor.

"Adik tahu lah... adik nak solat sama saf dengan orang besar kat surau tu. Lepas tu malam-malam ayah tidor kat bilik adik. Kitakan lelaki, bairlah ibu tidor sorang" Amboi bukan main lagi ...

"OK, nanti ayah check dengan DrH dulu k"


Pada hari Khamis malam Jumaat tanggal 4 December 2008 jam 9:00pm maka kami sekeluarga mengiringi HeroKecik ke klinik. Dan yang paling bersemangat adalah kakak-kakak dia. Selamatlah HeroKecik dikhatankan .. bangga kami sebab dia berani. Sikit pun tak menangis .. macho jer keluar dari bilik doktor tu. Aku pun hairan .. memang tak sakit ker berkhatan ni? Kata HeroBesar, doktor tu bius lah .. nanti dah abih ubat bius tu .. tengoklah keHEROan dia akan terserlah !!

"Ibu, adik tengok doktor tu potong .. doktor letak clamp." dan dia boleh berjalan macam orang tak bersunat jer aku nengok. Puas pulak aku duk remind dia suruh jalan perlahan-lahan.

Sampai rumah, dia lagi lah seronok. HeroBesar belikan hadiah Nintendo .. bersinar-sinar mata HeroKecik !! tak sempat buat apa dah terus main benda alah tu tak berhenti-henti .. aku terpaksa pulak marah nak suruh tidor.

Non event jer proses selepas sunat .. aku yang penat duk mengulang mengingatkan dia .. Raya Haji tu anak bujang aku dah pakai Baju Melayu sepasang pergi surau solat sunat (tapi clam belum buka lagi!!) and siap tengok orang sembelih lembu!!

Tuesday (9 December 2008) hari yang dijanjikan untuk remove clamp tu lah. Sekali lagi kami berduyun-duyun mengiringi HeroKecik keklinik dan macam sebelumnya kakak-kakaknyalah yang terlebih excited. Aku awal-awal dah pesan dengan HeroKecik;

"Adik dah sunat tak boleh tau nak tunjuk-tunjuk bird tu kat orang, dosa."

"Angah dengan Achik pun tak boleh tengok ke?" apa hal pulak lah dia nak tunjuk kat kakak-kakak dia .. tapi memang lah dia ni tak faham lagi, masih lagi dia duk terkonteng-konteng keluar masuk dari bathroom sekarang ni!!

Hari pertama buka clamp:
"Ibu .. kenapa bird adik nampak cam plastercine nih? Kenapa jadik lain sekarang ni?" Apa aku nak jawab? Aku pass lah kat HeroBesar .. kerana dia lebih mengerti.

Salah satu hari tu:
"Ibu .. macam onion ring kan kat keliling bird adik ni..semua orang punya pun macam ni ke bila dah sunat?" apa sajalah anak bujang aku ni tanya soalan yang pelik-pelik ni .. ingat ibu ni duk skodeng semua kanak-kanak yang lepas bersunat ke?

Hari lain pulak :
"Ibu .. bird adik ni macam udang kan? macam kulit udang !!" yaALlah hai .. tang mana pulak yang dah jadi rupa kulit udang tu? hahahahahah kelakar anak aku ni. Aku harap bila besar nanti dia baca entry aku ni ...

Alhamdulillah dah selamat !! Aku rasa next event yang besar untuk HeroKecik adalah hari dia bernikah pulak lah kan? Aku harap dia menjadi anak yang soleh, mendapat pasangan yang solehah.

Next :


Anak pertama adikPian. Lahir 16 December, 2008 @ 8:31am Hospital Besar Seremban. Pangkat cucu pada aku lah ... masa aku visit dia di hospital tu, dia belum ada nama lagi .. semoga dia menjadi hamba yang sentiasa taat akan perintah dan larangan TUANnya dan menjadi penyejuk hati dan mata pada kedua orang tuanya ..
Inilah abah kepada baby tu .. youngest son of my brother ~~~ my nephew!! Apo motif kau botak kepala hah?? masa ni anak belum lahir lagi .. (gambar masa hari pertama raya haji 2008).


Another nephew of mine .. BangTeh. Aku baru lepas kasi one point lecture kat dia masa capture gambar ni.. isteri dia dihospital tunggu untuk operation tangan yang patah. Dia kat rumah main chess (ada ke patut?) dengan abah baby tadi tu. Tapi buat sejukkan hati aku, bila my sister-in-law panggil, tanpa lengah sesaat dia terus bangun dan tunaikan permintaan mak dia ... potong daging!! Anak yang baik .. insyaALlah.

Last but not least .. ini hadiah untuk aku dari cikGlamer n cikKewl...(mereka merasuah aku supaya tidak buka kitab kat diorang) .. mana tidaknya pagi-pagi aku hantar pergi LRT katanya nak ke SP shopping mopping. Bila aku called tengahari .. waHHh duk dalam panggung wayang di MV!!! Bila masa you all minta izin nak pergi nengok wayang?? Siaplah you all bila balik nanti menadah telinga!! ... Tapi tak sempat aku nak buka kitab, dah di sorongkan dengan handbag ... dan aku memang berkenan bangat pulak tu!! Aku baca kitab juga tapi tone tu lain lah sikit ..

Senangkan nak membahagiakan ibu ni? hahahahahahha


Thursday, November 27, 2008

25 years + 5 years

Hari ini 27 November, 25 tahun dulu aku di ijab kabulkan dengan HeroBesar setelah 5 tahun kami melalui pahit manis bercinta ...

Hari ini, setelah 25 tahun .. without fail, HeroBesar masih mengucapkan Happy Annversary and I LOVE YOU Sayang seperti tahun-tahun sebelum ini... tiada yang berubah dan tiada yang kurang ..

Hari ini, setelah 25 tahun, HeroBesar masih memeluk aku dan mencium dahi aku setiap kali sebelum dia meninggalkan rumah ...

Hari ini, setelah 25 tahun berkongsi hidup ... kami dikurniakan 4 orang cahayamata .. penyejuk hati kami... Akak, Angah, Awa n Haziq we love each and everyone of you ..

Hari ini, setelah 25 tahun ... aku masih mengatakan HeroBesar aku tu sedang-sedang sedap saja setiap kali kawan-kawan kata dia bertambah besar ..

Hari ini, setelah 25 tahun ... kami dah sama-sama banyak rambut putih dikepala..

Hari ini, setelah 25 tahun ... Beb!! I nak hadiahHHHHhh .....

Happy Anniversary sayang ... I love you dulu kini dan selamanya ... insyaALlah.

Wednesday, November 26, 2008

Pain In The Neck!!

Sudah tiga hari aku tak selesa .. sakit tengkuk!! rasa nak demam pun ada, tapi masih bolih bangun berjalan-jalan dan makan-makan apatah lagi berkemampuan mengadap laptop ni .. sebab tu orang macam tak percaya bila aku kata aku sakit tengkuk. Mula-mula rasa sengal saja tengkuk aku .. tapi semakin hari dah semakin sakit pulak .. akhirnya setelah orang buat tak tahu saja.. aku sendiri minta SOS dari HeroBesar .. minta tolong sapu minyak panas dan urut sekali. Legalah sikit lepas tu ..

Hari ini aku tinggal sendirian. Semua orang pergi KL ada hal yang lebih mustahak. Aku dah letih tidor ... koyok dah berlapis-lapis aku letak kat tengkuk .. rasa lapang bila terasa angin menyedut tu .. harap-harap tak perlulah aku ke klinik ..

Semoga aku tak menjadi Pain In The Neck pada orang lain bila dah tua-tua begini ...


Thursday, November 20, 2008

Mati hidup semula ..

Recently aku pergi expo pertanian .. HeroKecik lah yang heboh sangat nak pergi selepas mendengar cerita dari kawan-kawan dia disana ada kuda, lembu, kambing, ikan ect. Inilah aktiviti yang benar-benar buat dia teruja tu :

Buat aku tak ada yang menariknya .. sekadar melihat-lihat kambing-kambing, lembu-lembu saja .. dan paling aku tak tahan ada bau-bauannya ... pergHHHh.





Ada juga lah pokok-pokok pertanian dipamerkan .. pokok-pokok bunga. Tak kurang juga gerai-gerai menjual hasil tani .. gerai makanan kesihatan dan products kecantikan yang dihasilkan locally ... Dalam banyak-banyak tu yang satu ini menarik perhatian aku sebab tak pernah tengok ... Pokok Genggam Fatimah namanya .. bila aku tanya penjual tu dia kata pokok ni terdapat di tempat yang ada gunung berapi saja. Menurutnya lagi pokok ni bolih menjadi penawar kepada pelbagai penyakit from hypertension to low libido to weight loss; mengetatkan VJJ jugak. Jangan main-main!! .... Tapi bila aku googled ini saja yang aku dapat :

Pokok Genggam Fatimah atau nama sainsnya Selaginella lepidophylla adalah tumbuhan herba gurun dalam keluarga spikemoss. Pokok Genggam Fatimah terkenal kerana keupayaannya untuk hidup hampir kekeringan sepenuhnya; semasa musim panas dihabitat tempatannya, rantingnya merengkok menjadi bebola ketat dan kembali kembang apabila terdedah kepada kelembapan (Lebkuecher 1993). Ia tumbuhan tempatan bagi padang pasir Chihuahuan

http://ms.wikipedia.org/wiki/Pokok_Genggam_Fatimah

Nampak macam dah mati kering .. keras semacam .. sekali tengok cam gremlins pun ada!!


Bila dah direbus .. nampak seperti hidup semula .. segar dan menghijau!! Yang menjadi ubat katanya adalah air hasil rebusan pokok Genggam Fatimah tu -- minum saja... walaupun disuakan untuk merasa, aku dan HeroBesar tak berani nak mencuba ... heheheheh takut nanti jadik kuat lah pulokkKkk !!


Wednesday, November 19, 2008

Chaiyok Chaiyok !!

Hari ni; 19 November 2008 -- pagi-pagi lagi kami dah keluar rumah. Mesti sampai ke tempat ujian memandu jam 8:00 pagi. Aku tak nak lewat sebab nanti dapat nombor banyak. Sebelum tu kami kena singgah breakfast dulu .. pekena roti canai sekeping sorang.

Sampai kat tempat ujian memang on time. Belum ramai orang .. aku terus register diri dan dapat Nombor 4. Lepas tu aku disuruhlah duduk menunggu .. schedule test 8:30am. Semakin lama semakin ramai ... dan dalam ramai-ramai tu akulah yang paling senior (dan paling berpengalaman dalam membawa kereta auto).

Nasib baik lah ada Hero Besar dan Hero Kecik menemankan aku... tak berhenti-henti Hero Besar beri semangat... macam-macam motivasi dia beri. Aku tetap lah dengan debar dan tak senang duduk. Apalah ke lambat sangat orang-orang JPJ nak start...

No 1 dah pergi .. ada lagi 2 orang sebelum turn aku. Tapi entah sistem apa yang diguna .. lepas No 1 terus No 4 !! terkesima aku .. tapi terus saja ikut tester tu pergi dekat kereta. Dalam hati aku, nasib baiklah budak muda tester ni .. cam senang sikitlah aku nak bawak sembang .. so just follow all the procedures yang instructor dah ajar berkali-kali .. terus test on the road. Alhamdulillah .. walaupun injin mati sekali dekat simpang .. masih under control. Lulus on the road.

Tunggu lagi untuk test selanjutnya ... naik bukit dan parking. Sebenarnya antara on the road n naik bukit ... aku lagi gabra naik bukit. Masaalah manjang saja masa training. Lagi sekali lah Hero Besar memainkan peranan sebagai motivator .. chaiyoK chaiyoK !! I believe u can do it ... just enjoy it .. Aku tak tahu apa budak-budak muda yang ramai tu fikir tentang kami .. couple tua yang perangai macam orang muda .. kelakar pun ada! Hero Kecik pulak tak membantu langsung asik merengek lapar lah pulak .. haishHHh.

Akhirnya sampailah waktu untuk ujian bukit tu ... first 15 pergi beratur .. kereta ada 4 buah .. so aku antara berempat pertama lah. Orang pertama OK, kedua OK, ketiga kantoi ... turn aku pulak. Perlahan saja kereta bergerak naik bukit tu .. rasa aku macam dah sampai sangat lah .. aku pun tekan clutch, break dan tarik handbreak. Julur kepala tengok tayar ... alahaiii .. tayar cecah siiiiiiiiikit jer kat line kuning tu. Sebelum ni ada instructor yang duk beri ingat .. kalau keadaan macam tu terpulanglah pada budi bicara tester tu .. nasib baik lulus lah .. kalau tak baik di gagalkan nya saja. So kata instructor masih ada peluang nak perbaiki jangan angkat tangan dulu .. just reverse kereta dan buat lagi sekali. Malas aku nak cerita banyak, aku angkat tangan kat tester JPJ tu mengatakan aku dah puas hati... kalau dia gagalkan .. aku datang lagi lain kali. Waktu suspennya waktu nak turun bukit inilah .. selalu saja injin aku mati. Tapi alhamdulillah smooth pulak kali ni .. senang lenang saja aku turun dan terus pergi tempat test parking pulak.

Lulus dah makchik niiiii ... setelah 5 tahun memandu tanpa lesen !! Nasib baiklah tak kena cekup ..

Tuesday, November 18, 2008

Anak-anak ikan ...

Kolam dah memang lama ada depan rumah .. isinya cuma berudu!! Entah dah berapa kali aku ingatkan suruh bersihkan or kambus saja .. tapi Hero Besar buat tak tahu saja. Sampailah ke satu tahap aku tak boleh nak tahan dah maka aku pun kata, "minggu depan I dah cakap pada Herman *Indon* minta tolong kambus kolam tu."

The next day itself, pagi-pagi selepas subuh aku nampak orang sibuk mencuci kolam dan entah apa lagi yang di repair .... aktiviti ni berjalan selama lebih kurang 3 - 4 hari juga .. baru aku tahu rupanya kolam tu bocor selama ni ...


Ini peralatan untuk memastikan air kolam sentiasa bersih (untuk buat filter) .. untuk memelihara ikan karp .. siap dengan anti-klorin sekali. Sudah tentunya orang yang paling excited ialah Hero Kecik .. sampai jatuh tertonggeng tepi kolam tu.


Ini pulak anak-anak ikan karp (9 ekor) yang bakal di lepaskan ke dalam kolam. Tak tahulah berapa lama kali ni nyawa ikan-ikan tu boleh bertahan. Aku tak dapat nak mengingat ini percubaan kali yang keberapa .. tapi lebih lah dari 4 kali dah kalau tak silap. Harap-harap ikan-ikan tu semua sempat membesar kali ini ..


Maka hari Jumaat malam Sabtu lepas (14 Nov 2008) dalam hujan renyai-renyai .. maka berlangsunglah upacara melepaskan anak-anak ikan kedalam kolam oleh Hero Besar dan Hero Kecik.

Setakat hari ini, memang Hero Kecik bertanggungjawab lah memastikan ikan tu mendapat makanan selayaknya ..

Thursday, November 13, 2008

Jangan melopong ...

"alaaaa nyonya ... saya punya tekak sudah keringlah!!" berdesing telinga aku dengar instructor tu punya statement. Panas hati aku ... bukan aku sengaja nak beri enjin tu mati bila sampai atas bukit tu. Bongok betul cina tu .. sebab aku tak tahu nak handle kereta manual lah aku datang belajar !! Hari panas .. aku dah penat. Steering wheel tu punyalah keras boleh naik muscles lengan aku memulas nya ... dia pulak nak buat lawak bodoh!!

Aku tarik nafas .. hidupkan enjin, tekan minyak sampai no 3 .. stabilize, lepaskan clutch perlahan-lahan sampai no 2 ... tekan minyak sikit lagi, release handbrake .. zoom aku turun bukit tanpa menolih kebelakang ... aku tinggalkan dia, goodbye lah !! Mesti terpinga-pinga cina tu .. aku pulangkan kunci kat pejabat tu .. dan terus pergi ke kereta aku terus balik. Tak pasal-pasal aku belajar 40mins jer hari ni .. sepatutnya satu jam (RM30).

Hari ni aku sampai tempat belajar memandu tu lebihkurang 8:50 pagi. Mestilah dah ramai orang ... aku register dan bayar untuk dapatkan kupon .. dah dapat kupon kena beri lah pulak pada mana-mana instructor yang ada untuk mengajar ... 2 kali sebelum ni aku dengan Encik Salim .. tapi sebab hari dah lewat dia pun dah mengajar orang lain. Aku lepak tunggu instructor lain .. lebih kurang 30mins gak aku menunggu .. datanglah sorang Apek ni (tak lah tua sangat), dia baru habis mengajar orang lain .. aku pun hulur kupon .. explained lebih kurang sejarah kenapa aku belajar semula.

Apek tu tak bawak aku on the road macam selalu tapi terus saja belajar parking dan naik bukit berkali-kali... tapi entah apa yang tak kena pulak hari ni. Buat parking banyak silap, naik bukit pun asik-asik kantoi saja ... dapat pulak instructor poyo tu. Aku awal-awal dah pesan .. jangan beri aku instructor yang garang.. aku ni orang tua mudah tersinggung .. aku darah gemuruh!! Akibatnya aku jugak yang rugi ....

Tarikh ujian dah di tetapkan 19 November ni .. pandai-pandai jer Hero Besar menetapkannya. Aku nak minta postpone lah ... boleh ker ??

Moral of the story; jangan melopong .. pastikan lesen memandu anda diperbaharui on-time !!

Monday, November 10, 2008

Andy ..

Last Saturday kami pergi sekolah HeroKecik berjumpa guru kelas dia ~~ Hari Prestasi kalau tak silap. Tak payah nak cerita banyaklah tentang pencapaian mata pelajaran anak bertuah tu .. memang kami dah sedia maklum. Tapi kami rasa berbahagia jugak lah mendengar pandangan Cikgu kelas dia, "Dia tak nakal, mendengar kata dan suka menolong guru-guru." Setiap orang memang ada kelebihan dan kekurangan ... baru Darjah Satu pun!!

Disebabkan kelebihan yang dia ada disekolah tu, maka aku tunaikan permintaan dia untuk beli hamster. Yang jual pun anak
jiran kami juga... so lets welcome Andy, our new family member!!
Hopefully Andy will survive until Akak, Angah n Awa balik ....
Yang pasti .. aku ada lagi satu tugas penting i.e. memastikan keselesaan Andy ..

Wednesday, November 5, 2008

Pandainya dia ...

Bila di ajak buat revision ini jawapan dia "tak payah dah ibu, kat sekolah memang cikgu dah buat dah"

Bila ditanya tiap-tiap hari macam mana periksa hari tu, ini jawapan dia "adik dapat buat semua, senang jer sebab memang cikgu dah ajar"

Bila dapat results (ada subjects yg belum dapat), you all tengok lah sendiri ... cemerlangkan?

English = 59
Bahasa Arab = 45
Mathematics = 56
Bahasa Melayu = 83
Science = 58
Al-Quran = 50
Jawi = 54

Bila ditanya kenapa results macam tu, ini jawapan dia "alaaa OKlah tu, kawan-kawan adik ada yang lagi teruk ibu dorang tak marah pun!!

Dan tanpa segan silunya dia minta hadiah Play Station untuk subject yang dia dapat above 80% tu!! Bolih percaya ke ??

Saturday, November 1, 2008

SRI-Seremban



Baru balik dari menghadhiri forum diSekolah Rendah Islam-Seremban. Forum di adakan bertujuan bagi mengutip dana untuk membina sebuah makmal sains. Dah lama tak menghadhiri majlis anjuran SRI ..
Teringat dulu masa mula-mula menghantar anak sulung bersekolah disana .. macam-macam kata "ransangan" didengar dari teman-teman dan saudara mara. Ada yang kata kami dzalim pada anak kami, ada yang kata nanti anak kami ketinggalan, ada yang kata nanti anak kami tak ada masa depan .. dan macam-macamlah. Namun kami tekad dan berpegang teguh pada hasrat dan tujuan kami .. memberikan pendidikan agama semampunya pada anak-anak kami... Alhamdulillah ...
SRI adalah sebuah sekolah agama swasta yang di asaskan olih ABIM. Biasalah kalau sekolah agama dan swasta pulak maka keadaannya tidaklah secanggih mana .. bermula dengan sebuah rumah tinggal dijadikan bilik belajar dengan murid yang tak sampai 30 orang. Guru-guru dan ibubapa pelajar masa itu amat akrab ... kami seperti satu keluarga bersama-sama berusaha sedikit demi sedikit untuk memajukan lagi sekolah yang amat dekat dihati kami.
Hari ini SRI-Seremban tersergam megah .. dan telah menghasilkan ramai para cerdik pandai. Kalau dulu orang takut dan ragu untuk menghantar anak-anak mereka keSRI .. tapi hari ini berlumba-lumba ibubapa hendak anak mereka belajar di sana. Nampak gayanya kami akan memulakan semula tradisi menghadhiri majlis anjuran SRI dimasa-masa akan datang kerana Hero Kecik kini meneruskan tradisi kakak-kakaknya.
Alhamdulilah .. berkat kesungguhan dan keikhlasan guru-guru SRI, insyaALlah dirumah kami akan ada 2 orang bakal doktor .. dan seorang Engineer tak lama lagi.
Teringat I kata seorang tokoh agama .. hendaklah kamu kejar akhirat, dunia dan seisinya akan mengikut kamu... tapi jika kamu kejar dunia ini, akhirat akan berciciran.

P/S : Ustazah Bahyah Mahmood adalah salah seorang ahli penal pada forum tadi.

Wednesday, October 29, 2008

Breakfast @ Hari Raya











Menu Utama :
Pulut Kukus (kuning)
Rendang Daging
Sambal Tumis

KuihMuih:
Talam Roti
Talam Ubi
Popia + Sauce
Karipap Pusing
Biscuits raya

Minuman :
Nescafe - Panas
Teh O - Panas
Orange Sunquick - Sejuk

Pagi ni I bangun seawal jam 6 menyediakan apa-apa yang patut untuk majlis jamuan raya @ breakfast bersama muslimat seTaman dan sePengajian di rumah. Tapi sebelum tu kena sediakan Hero kecik untuk kesekolah dulu. Hero kecik pergi sekolah jam 7 pagi. Macam-macam alasan dia beri untuk monteng .. paling best dia kata dia bukan nak monteng .. "adik kesihan ibu sorang-sorang tak ada orang nak tolong!" sejuk hati I .. Hero besar awal-awal lepas subuh dah bertolak ke KL untuk temankan mak dia pergi hospital. Sendirian berhad lah I hari ni ....

Alhamdulillah semua selamat .. majlis meriah dan semua yg dijemput hadhir bersama anak-anak yang lebih menyerikan lagi majlis. Tak menang tangan, tak menang mulut, riuh rendah dan kacau bilau keadaan .. perempuan lah katakan kalau dah berkumpul .. by 1:00pm semua dah selamat kembali ke rumah masing-masing .. yang tinggal cuma tuan rumah tergolek sambil senyum sendirian ...

Semoga majlis mendapat barokah ALlah dan pertemuan yang diatur mengeratkan lagi silaturrahim antara kami ...

p/s : masa peak tak ambil gambar .. terlupa sibuk melayan tetamu .. gambar-gambar ni semua di penghujung waktu .. jadiklah jangan tak ada ..

Monday, October 27, 2008

Pictures that speak thousand words ..








I dont feel like "bebel"ing today .. so just let the pictures speak ...

Sunday, October 26, 2008

Perjalanan ..

Sampai rumah around 11:00 pm last nite .. kekenyangan!! Mana tak nya .. 3 rumah kami pergi ziarah .. bergerak dari Seremban immediately lepas zohor menuju ke rumah pertama di Wangsa Melawati. Punyalah sakitnya nak sampai .. jalan sesak, tapi sampai juga lah. I macam biasalah akan melayan mata disepanjang perjalanan .. so bila roomate kejutkan kata dah sampai I termamai ... ehh!! betul ke ni rumah diorang? Lain sungguh keadaan rumah tu .. menunjukkan betapa lamanya kami tak melawat penghuni rumah*sorry anak-anak I sampai terlupa nak mengambil gambar sebab terlalu excited!!*. Haziq terjerit-jerit beri salam .. keluarlah Chah, kakak dan dikMat menyambut .. dalam rumah ada beberapa tetamu lain yang kami tak kenal. Kawan-kawan tuan rumah lah... so kami join sekaki. Makan tak berhenti-henti sebab semuanya sedap .. laksa penang, roti jala, nasi impit, rendang ayam, rendang daging, kuah kacang .. even tosei pun ada. Lepas bual-bual, melawat dalaman rumah kami pun minta diri untuk pergi rumah seterusnya ..

Sampai Kajang dah dekat 5:00pm setelah meredah kesesakan lalu lintas sekali lagi. Pusing-pusing cari rumah yang nak di tuju adalah agak 40 minit. I dah mula nak berangin sebenarnya ngan roomate .. bukan apa dia tu suka sangat nak mencuba sendiri .. nak cari sendiri. Apalah salahnya talipon cousin dia tu untuk tunjuk arah. Akhirnya roomate buat keputusan nak terus pergi rumah abang dia diSungai Ramal Dalam .. so tak jumpa rumah kedua tapi pergi rumah ke 3!! Sambil duduk-duduk menjamu selera .. dia talipon cousin dia kata minta maaf kami tak dapat datang sebab tak jumpa rumah. Entah apa diorang bincang .. Yang, lepas maghrib ni kita ramai-ramai pergi rumah abangSani .. so lepas maghrib bertolak lah menuju rumah tu dengan my brother in-law sebagai penunjuk arah!! Tak jauh pun dari rumah my brother in-law ke rumah cousin diorang tu ...

MasyaALlah banyaknya makanan ... makan lagi!! I dah tak boleh nak masuk lagi makanan dalam perut tapi jamah jugalah .. tengok Haziq mencuba makanan rasa macam tak percaya!! besar mana perut dia tu? mula-mula mee soup, lepas tu nasi tomato, sambung dengan tapai .. tak berhenti lagi dia makan roti cecah kuah durian pulak!! Roomate ni kalau jumpa cousin dia yang satu ni tak adalah cerita lain selain dari cerita DSAI dan sewaktu dengannya... mentanglah cousin dia ni memang rapat sangat dengan DSAI.. kehulu kehilir bersama!! Dalam hati I menjerit-jerit ajak balik ... ishk kalau di tunggu sampai pagi tak habis cerita... ehem ehem ... hah!! faham pun. So bertolak untuk ke Sepang pula .. satu lagi destinasi.

Sampai KTT lebih kurang 9:30pm untuk menyerahkan "barang" pada Awa. Bila dah berjumpa tu bukan boleh sekejap .. siap dia duduk dalam kereta nak bercerita katanya. Haziq dah sampai kebulan mimpi .. dikejutkan dah tak layan!! ngok ngek ngok ngek dalam 15mins kami meneruskan perjalanan ke Seremban. I sedar-sedar bila roomate kejut suruh buka pintu pagar ... alhamdulillah dah selamat sampai ke rumah kami ... semoga pertemuan yang di aturkan menambah eratkan lagi silaturrahim ..

Hari ini ada jemputan makan tengahari di Kinrara pulak. Petang nanti lepas Asar sampai lepas Isya' ada kuliah dengan Sheikh Nuruddin alMakki untuk santapan rohani .. dalam menyediakan diri untuk perjalanan yang lebih jauh lagi ..

Saturday, October 25, 2008

Pagi yang dingin ..


Here I am .. menyahut cabaran anak-anak untuk ber"blogging"!! akan bermula lah satu lagi sebab mengapa harus I duduk mengadap laptop. Tak tahu lah lama mana blog ni akan bertahan .. I bukan ada benda specific yang nak di tulis tiap-tiap hari sekadar tempat merapu boleh lah agaknya .. meng"update" hal-hal rumah dan persekitaran untuk anak-anak yang jauh diperantauan. Here goes ....

Mimpi apa entah malam tadi, pagi-pagi balik dari surau roomate ajak hero kecik untuk bermain air .."tak sejuk ke sayang?" berduyun-duyunlah dua beranak tu mencuci kereta. Mungkin sebab petang semalam agaknya .. I duduk komen kereta dia macam kereta Mandor Estet !!! Mujarab juga sindiran sinis I .. kalau di suruh memang tak akan di buatnya ..

Lepas ni kami akan merancang perjalanan untuk ke Kuala Lumpur .. ada rumah terbuka disaat akhir bulan Syawal ni .. bukan rumah orang lain, rumah my sister. Dah lama I tak pergi rumah dia .. adik yang I sayang tapi tak terluah dengan kata-kata dan perbuatan .. insyaALlah hari ni sampailah.

Ok now kena berhenti dulu .. perut dah berbunyi, mulut-mulut pun dah berbunyi mengajak pergi breakfast .. kita minum dulu !!!

Friday, October 24, 2008

Test !!

Kini pasti !!