Hari minggu baru ni setelah sekian lama, aku balik kampung menghadhiri walimatulurus salah seorang saudara. Sayu hati melihat tempat aku dibesarkan dulu. Berubah dah kampung aku .. semacam dah tak ada serinya lagi... tidak meriah seperti zaman kanak-kanak aku dulu.
Rumah-rumah kampung dah banyak yang tidak didiami. Penghuni jenerasi mudanya sudah membawa haluan masing-masing. Ramai yang berpindah kebandar mencari rezeki. Orang-orang tua-tua kampung dah banyak yang pergi menyahut seruan Ilahi. Yang tinggal cuma beberapa kerat saja .. menunggu giliran untuk kesana juga.
Sungainya semakin mengecil bukan macam zaman kanak-kanak aku dulu. Sungai itulah punca segalanya, airnya deras dan banyak .. mandi, mencuci pakaian, malahan sumber air untuk minum dan masak memasak pun dari sungai tu. Teringat dulu, salah saorang dari sepupu aku pernah dihanyutkan air sungai .. masa tu dia kecil lagi lebih kurang umur 2 tahun. Kami yang besar-besar sibuk mandi manda sampai terlupa dia yang ditinggalkan ditebing. Sedarnya bila pakcik aku datang bawa kayu nak belasah kami. Orang dah jumpa sepupu aku yang hanyut dan hantar pulang kerumah. Mujur umurnya masih panjang .. Sekarang sungai dikampung aku sudah tak sesuai untuk semua tu ..
Sawah pun dah tak dikerjakan lagi. Dah tak ada orang yang nak mengerjakan sawah macam dulu-dulu. Sawah sentiasa menghijau dizaman aku kanak-kanak sehingga remaja. Cantik pandangan bila waktu padi masak ... menguning. Balik dari sekolah selepas makan tengahari, kesawah lah aku menolong mak. Semua proses aku buat, dari menanam padi, merumput sampai lah ke memotong padi bila dah masak. Kami tak pernah beli beras sepanjang aku ingat ... semua hasil kerja sendiri disawah. Sekarang semua tu tak ada dah .. anak-anak sekarang padi pun tak kenal, cuma tahu beras saja.
Terasa aku dah tua .. dah memang tua pun!!