Thursday, January 29, 2009

Harta itu ujian


Lama sungguh aku tak balik kampung. Terbit juga rindu sesekali, teringat dulu masa kanak-kanak mandi sungai, berlari dibatas sawah .... dan bila rindu itu menerjah .. terasa titisan panas mengalir dipipi. Semua tu tinggal kenangan ...

Entah kenapa sejak emak meninggal aku dah tak ada hati nak balik kampung. Lagi pun bukan ada siapa-siapa dah dikampung tu .. yang ada cuma saudara-saudara jauh saja. Rumah yang mak tinggalkan pun dah hampir roboh .. pokok-pokok buah seperti kelapa, rambutan, langsat dan durian masih mengeluarkan hasil tapi dipungut orang lain. Aku tak kisah .. aku niatkan sedekah bagi pihak arwah mak.

Aku merajuk hati. Sebelum emak meninggal dunia, tanah belakang .....tanah tapak rumah, tanah sawah dah mak pindahmilikkan kepada aku. Aku ingat lagi mak beritahu aku .. jangan kemana-mana bila dia tak ada, "tunggu kampung ni." Mak buat macam tu sebab dia tahu, bila dia dah tak ada nanti memang susah lah aku, sebab aku kan cuma anak angkat ... dan mak memang faham sangat akan kerenah anak saudara dia.

Memang betul tekaan mak, tak lama lepas mak meninggal dah ada orang yang datang berjumpa aku dalam nada memujuk .. mengatakan aku sebenarnya tak berhak penuh untuk tanah arwah mak , apa yang aku dapat tu sekadar ihsan sebagai tanda kerana telah dibesarkan disitu.

"kau ambillah tapak rumah sekarang saja, yang belakang tu nak diberikan pada si polan" katanya orang itu.

"tanah sawah tu pun sebenarnya kau tak berhak dapat tu, tapi tak apalah, kau setuju sajalah dulu untuk transfer nama nanti kita tengoklah macamana." sambungnya.

Aku tak banyak bersuara, "akak buatlah apa yang akak rasa betul dan terbaik." itu saja yang mampu aku lafazkan. Aku rasa terhina sebenarnya .. tapi aku tak pertakaikan kehendak orang tu sebab aku tak mahu menyusahkan arwah mak di alam sana ... aku akur saja kehendak orang tu.

Sehingga hari ini, dah empat tahun lebih mak meninggal ... aku tak tahu apa status tanah peninggalan arwah mak tu .. aku tak pernah bertanya; dah berjaya ke dia menukarkan hakmilik tanah? Lebar mana yang dia ambil .. kawasan depan ke belakang? Katanya dulu ada Orang Besar kampung tu yang menasihat dan membantu menguruskan segala. Bagi aku biarlah dia ambil .. mana yang tinggal nanti hak aku .. kalau ada, kalau tak ada pun aku bersyukur dengan apa yang aku miliki sekarang.

Alhamdulillah, setakat hari ni apa yang aku ada sudah lebih dari mencukupi untuk aku meneruskan sisa-sisa hidup dalam mencari redha ALlah swt. Aku punya suami yang bertanggungjawab sepenuhnya pada diri aku, dan anak-anak yang ALlah anugerahkan pada aku tu adalah harta yang paling bernilai ..

Benarlah seperti Firman ALlah swt dalam Surah AlTaghabun ayat 15 : Harta dan anak-anak itu hanyalah ujian bagi manusia, disisi ALlah itulah pahala yang paling besar.